Showing posts with label news. Show all posts
Showing posts with label news. Show all posts

Thursday, September 3, 2009

The Qurra' 2009 - Final Tahfiz Competition

Masjid Lama, UTP, 1 September 2009 – “ The Qurra’ ” merupakan salah satu aktiviti yang telah dijalankan bersempena dengan Program Ramadhan Discovery yang telah dianjurkan oleh Rakan Masjid UTP sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Pertandingan The Qurra ini terbuka kepada semua Muslimin dan Muslimat, dan pertandingan ini juga mempunyai beberapa kategori yang telah dipertandingkan.

Pertandingan akhir bagi kategori tahfiz ini telah diadakan pada jam 10.00 malam bertempat di Masjid Lama. Bagi kategori tahfiz ini, para peserta dikehendaki mengahafal surah Al-Furqan. Kesemua para peserta ini diberi tempoh selama dua minggu untuk menghafal surah ini. Peserta-peserta yang terpilih untuk memasuki pertandingan akhir ini dipilih setelah mereka memperdengarkan bacaan mereka ketika peringkat saringan.

Pada tahun ini, seramai lima orang peserta telah berjaya melangkah ke peringkat akhir. Mereka terdiri daripada Saudara Muhammad Ridhwan bin Abd Rasid, Saudara Nurudeen Korsem, Saudara Wan Amir Faiz bin Wan Daud, Saudara Mohammad Fauzi bin Idris dan Saudara Mohammad Safwan bin Soleh. Pada malam tersebut, kesemua peserta ini dikehendaki memperdengarkan bacaan mereka kepada juri-juri jemputan. Juri-juri terdiri daripada Ustaz Ur-Rahman, Pensyarah UTP, Saudara Muhamad Akram bin Ismail, Presiden Rakan Masjid, dan Saudara Muhamad Sufian bin Rani. Markah akan diberikan oleh setiap juri kepada para peserta berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan.

Selepas kelima-lima peserta memperdengarkan bacaan mereka kepada juri-juri, Ustaz Ur-Rahman diberi kesempatan untuk membuat kesimpulan dan memberi sedikit teguran kepada para peserta mengenai bacaan mereka. Selepas itu, majlis penyampaian hadiah telah dijalankan. Pada pertandingan kali ini, Saudara Wan Amir Faiz bin Wan Daud telah dinobatkan sebagai Johan, manakala Saudara Mohammad Fauzi bin Idris dinobatkan sebagai Naib Johan dan akhir sekali Saudara Muhammad Ridhwan bin Abd Rasid telah mendapat tempat ketiga. Kesemua pemenang menerima trofi, sijil dan sedikit wang saguhati. Pertandingan akhir tahfiz ini tamat pada jam 11.15 malam. Kesemua para hadirin dan hadirat yang hadir telah dihidangkan dengan sedikit makanan dan minuman sebelum bersurai.




Dilaporkan oleh,

Unit Wartawan,
Lajnah Informasi dan Multimedia.

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Food Fiesta

Kafeteria V5, UTP, 19 Ogos 2009 – Program tahunan Rakan Masjid, Universiti Teknologi Petronas iaitu Ramadhan Discovery telah pun membuka tirainya dengan aktiviti pertama iaitu Ramadhan Food Fiesta. Ramadhan Food Fiesta ini merupakan pertandingan memasak yang disertai oleh pelajar-pelajar UTP, dan pertandingan ini bukan sahaja dibuka kepada kaum Hawa sahaja, malah pertandingan ini juga turut dibuka penyertaannya kepada kaum Adam.

Seperti sedia maklum, pertandingan memasak ini telah didominasi oleh kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada golongan Hawa. Namun begitu, penyertaan daripada Kumpulan golongan Adam juga tidak kurang hebatnya. Setiap kumpulan disertai oleh empat hingga enam orang ahli. Bagi penyertaan pada tahun ini, sebanyak tujuh buah kumpulan telah mendaftar. Daripada keseluruhan tujuh kumpulan ini, empat daripadanya merupakan penyertaan daripada kumpulan muslimat dan tiga daripadanya adalah penyertaan daripada kumpulan muslimin. Antara kumpulan-kumpulan yang menyertai pertandingan ini adalah Sweet Heart, Mine 83, Aicica, Team RM (muslimat), Team RM (muslimin), 90 Degree, dan Team International.

Setiap kumpulan diberi masa selama satu jam untuk menyediakan masakan masing-masing. Masakan mereka mestilah menggunakan ikan sebagai bahan utama. Mereka juga bebas untuk menghias masakan mereka. Markah akan diberi mengikut keseimbangan rasa, kesesuaian makanan, dekorasi, kebersihan dan penyampaian setiap pasukan. Bagi pertandingan pada kali ini, juri-juri terdiri daripada Ustazah Mashitah binti Sabdin (Pensyarah UTP), Saudari Raihana binti Rusli ( Presiden HELWI), dan Encik Abdul Razak ( wakil daripada Kafe V5). Selepas selesai memasak dan sesi penyampaian, keputusan pertandingan ini diumumkan. Pada tahun ini, Kumpulan Aicica telah berjaya menjadi johan. Semua hadiah kepada pemenang akan disampaikan ketika Majlis Penutup Ramadhan Discovery.

Disediakan oleh:

Unit Wartawan,
Lajnah Informasi dan Multimedia.

Tuesday, August 11, 2009

Ramadhan Talk 2009 : Tarhib Ramadhan


12 OGOS,MASJID AN-NUR UTP- Satu ceramah yang bertajuk Tarhib Ramadhan yang bermaksud Marhaban ya Ramadhan (Selamat Datang Ramadhan!) telah diadakan pada 12 Ogos 2009 bertempat di Masjid An-Nur pada jam 8.00 malam. Ceramah ini telah dibawa oleh Ustaz Rahmat B. Abu Seman selaku Eksekutif Kanan Unit Pentadbiran Masjid dan juga Penasihat Rakan Masjid UTP.

Ramadhan Talk ini merupakan salah satu aktiviti Ramadhan Discovery yang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 6 September 2009. Ceramah ini bertujuan memberi persediaan dari segi jasmani dan mental kepada warga kampus dalam menyambut bulan Ramadhan al- Mubarak tidak lama lagi.

Kita hendaklah menyambut Ramadhan dengan perasaan sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan rahmat Allah. Pada bulan ini, tiap-tiap amalan yang baik akan digandakan. Bulan Ramadhan juga dikatakan ‘renewal of a muslim life’ atau satu perubahan hidup seorang muslim dari keseluruhan aspek manusia.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa’. Ayat ini mewajibkan seluruh umat Islam untuk berpuasa atau dengan kata lain menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa dan mengharamkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dengan tujuan supaya kita dapat mencapai ketaqwaan yang diiktiraf oleh Allah.

Kita juga sering kali mendengar bahawa bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan barakah. Pada bulan ini, syaitan-syaitan dan iblis diikat lalu godaan syaitan kurang, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa-doa dan sebagainya. Semua ini supaya kita berlumba-lumba memperbanyakkan amalan atau ibadah kita di bulan Ramadhan.

Pada bulan ini juga telah diberi kelebihan pada umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada bau kasturi di sisi Allah, para malaikat memohon keampunan kepada Allah untuk orang-orang yang berpuasa. Pada bulan ini juga terdapat satu malam,kelebihannya melebihi 1000 bulan iaitu ‘lailatul qadar’.

Terdapat banyak amalan yang boleh kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan selain berpuasa. Antaranya ialah solat tarawih,qiammullail,tilawatul Qur’an, sedekah,iktikaf, zakat fitrah, taubat dan istighfar,dan sebagainya. Sedekah dan solat pada tengah malam itu menghapuskan dosa seperti air memadamkan api. Dan apabila kita membaca ayat- ayat al-Quran,setiap huruf akan digandakan 10. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak mahu mengambil peluang ini untuk beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Nabi ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosa lalu’-hadith Muttafaq alaih.

Jadi, khusus kepada semua komuniti UTP sekalian, ayuh hidupkan bulan Ramadhan kali ini dengan amalan-amalan yang berlipat kali ganda ganjarannya. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai satu "Temasya Ibadah dan Pesta Pahala". InsyaAllah.. (dan jangan lupa untuk mnyertai aktiviti-aktiviti RD09, insyaAllah sama-sama memanfaatkan Ramadhan)

[Ramadhan Renewal of Muslim Life]


Template by:
Free Blog Templates