Sunday, August 23, 2009

Ramadhan Food Fiesta

Kafeteria V5, UTP, 19 Ogos 2009 – Program tahunan Rakan Masjid, Universiti Teknologi Petronas iaitu Ramadhan Discovery telah pun membuka tirainya dengan aktiviti pertama iaitu Ramadhan Food Fiesta. Ramadhan Food Fiesta ini merupakan pertandingan memasak yang disertai oleh pelajar-pelajar UTP, dan pertandingan ini bukan sahaja dibuka kepada kaum Hawa sahaja, malah pertandingan ini juga turut dibuka penyertaannya kepada kaum Adam.

Seperti sedia maklum, pertandingan memasak ini telah didominasi oleh kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada golongan Hawa. Namun begitu, penyertaan daripada Kumpulan golongan Adam juga tidak kurang hebatnya. Setiap kumpulan disertai oleh empat hingga enam orang ahli. Bagi penyertaan pada tahun ini, sebanyak tujuh buah kumpulan telah mendaftar. Daripada keseluruhan tujuh kumpulan ini, empat daripadanya merupakan penyertaan daripada kumpulan muslimat dan tiga daripadanya adalah penyertaan daripada kumpulan muslimin. Antara kumpulan-kumpulan yang menyertai pertandingan ini adalah Sweet Heart, Mine 83, Aicica, Team RM (muslimat), Team RM (muslimin), 90 Degree, dan Team International.

Setiap kumpulan diberi masa selama satu jam untuk menyediakan masakan masing-masing. Masakan mereka mestilah menggunakan ikan sebagai bahan utama. Mereka juga bebas untuk menghias masakan mereka. Markah akan diberi mengikut keseimbangan rasa, kesesuaian makanan, dekorasi, kebersihan dan penyampaian setiap pasukan. Bagi pertandingan pada kali ini, juri-juri terdiri daripada Ustazah Mashitah binti Sabdin (Pensyarah UTP), Saudari Raihana binti Rusli ( Presiden HELWI), dan Encik Abdul Razak ( wakil daripada Kafe V5). Selepas selesai memasak dan sesi penyampaian, keputusan pertandingan ini diumumkan. Pada tahun ini, Kumpulan Aicica telah berjaya menjadi johan. Semua hadiah kepada pemenang akan disampaikan ketika Majlis Penutup Ramadhan Discovery.

Disediakan oleh:

Unit Wartawan,
Lajnah Informasi dan Multimedia.

0 teguran membina:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates