Tuesday, August 11, 2009

Ramadhan Talk 2009 : Tarhib Ramadhan


12 OGOS,MASJID AN-NUR UTP- Satu ceramah yang bertajuk Tarhib Ramadhan yang bermaksud Marhaban ya Ramadhan (Selamat Datang Ramadhan!) telah diadakan pada 12 Ogos 2009 bertempat di Masjid An-Nur pada jam 8.00 malam. Ceramah ini telah dibawa oleh Ustaz Rahmat B. Abu Seman selaku Eksekutif Kanan Unit Pentadbiran Masjid dan juga Penasihat Rakan Masjid UTP.

Ramadhan Talk ini merupakan salah satu aktiviti Ramadhan Discovery yang berlangsung dari 1 Ogos sehingga 6 September 2009. Ceramah ini bertujuan memberi persediaan dari segi jasmani dan mental kepada warga kampus dalam menyambut bulan Ramadhan al- Mubarak tidak lama lagi.

Kita hendaklah menyambut Ramadhan dengan perasaan sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang sekali lagi untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan rahmat Allah. Pada bulan ini, tiap-tiap amalan yang baik akan digandakan. Bulan Ramadhan juga dikatakan ‘renewal of a muslim life’ atau satu perubahan hidup seorang muslim dari keseluruhan aspek manusia.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa’. Ayat ini mewajibkan seluruh umat Islam untuk berpuasa atau dengan kata lain menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa dan mengharamkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dengan tujuan supaya kita dapat mencapai ketaqwaan yang diiktiraf oleh Allah.

Kita juga sering kali mendengar bahawa bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan barakah. Pada bulan ini, syaitan-syaitan dan iblis diikat lalu godaan syaitan kurang, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, Allah menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa-doa dan sebagainya. Semua ini supaya kita berlumba-lumba memperbanyakkan amalan atau ibadah kita di bulan Ramadhan.

Pada bulan ini juga telah diberi kelebihan pada umat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada bau kasturi di sisi Allah, para malaikat memohon keampunan kepada Allah untuk orang-orang yang berpuasa. Pada bulan ini juga terdapat satu malam,kelebihannya melebihi 1000 bulan iaitu ‘lailatul qadar’.

Terdapat banyak amalan yang boleh kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan selain berpuasa. Antaranya ialah solat tarawih,qiammullail,tilawatul Qur’an, sedekah,iktikaf, zakat fitrah, taubat dan istighfar,dan sebagainya. Sedekah dan solat pada tengah malam itu menghapuskan dosa seperti air memadamkan api. Dan apabila kita membaca ayat- ayat al-Quran,setiap huruf akan digandakan 10. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak mahu mengambil peluang ini untuk beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.

Sabda Nabi ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampuni dosa-dosa lalu’-hadith Muttafaq alaih.

Jadi, khusus kepada semua komuniti UTP sekalian, ayuh hidupkan bulan Ramadhan kali ini dengan amalan-amalan yang berlipat kali ganda ganjarannya. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai satu "Temasya Ibadah dan Pesta Pahala". InsyaAllah.. (dan jangan lupa untuk mnyertai aktiviti-aktiviti RD09, insyaAllah sama-sama memanfaatkan Ramadhan)

[Ramadhan Renewal of Muslim Life]


0 teguran membina:

Post a Comment

Template by:
Free Blog Templates